PUTRAJAYA, 18 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Op GASAK, bermula 1 Mei ini bagi membanteras penyelewengan subsidi gas memasak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi di bawah kerangka inisiatif ‘Kita Gempur’ itu bertujuan memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh industri yang tidak layak atau diseludup ke luar negara.
"Satu, penjualan kepada industri yang tidak sebenarnya layak untuk mendapat subsidi tong gas itu, yang disubsidikan melalui kaedah decanting telah dipindahkan daripada tong yang telah ditetapkan untuk perjualan subsidi itu kepada tong untuk penjualan industri.
"Jadi itu berlaku dan dia bukan hanya industri dalam negara, ada juga berlaku penyeludupan merentasi sempadan. Jadi kita perlu kekang isu ini daripada berterusan," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.
Tambah beliau, ketirisan subsidi gas memasak perlu ditangani segera kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan, mencecah RM3 bilion.