
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) muncul sebagai pemegang saham utama dalam Focus Point Holdings Bhd selepas membeli 570,000 saham biasa dalam pengendali rangkaian peruncitan optikal itu.
- Pada 21 Julai 2026, TH memegang 31.078 juta saham, mewakili 5.056 peratus kepentingan dalam Focus Point.
- Peratusan 5.056 tidak termasuk 1.34 juta saham dibeli semula dan disimpan sebagai saham perbendaharaan.
- Daripada 31.078 juta saham, 23.18 juta didaftarkan di bawah TH; 7.898 juta dipegang melalui Citigroup Nominees (Eastspring).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Focus Point menyatakan dana tabung haji itu memiliki saham syarikat berkenaan pada 21 Julai, 2026.
Focus Point memaklumkan dana tabung haji itu, yang sebelum ini memegang 4.96 peratus kepentingan, kini menguasai sejumlah 31.078 juta saham biasa, yang mewakili 5.056 peratus kepentingan langsung dalam syarikat berkenaan.
“Peratusan kepentingan itu tidak termasuk 1.34 juta saham biasa yang dibeli semula oleh syarikat dan disimpan sebagai saham perbendaharaan,” tambah syarikat berkenaan.
Daripada jumlah pegangan langsung sebanyak 31.078 juta saham itu, sebanyak 23.18 juta saham didaftarkan di bawah TH, manakala baki 7.898 juta saham, termasuk saham yang baharu dibeli, dipegang menerusi Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd – Lembaga Tabung Haji (Eastspring). -BERNAMA