
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan semua masjid dan surau di seluruh negeri mengadakan solat hajat khas pada Jumaat ini bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Solat hajat diadakan selepas Solat Jumaat di masjid; di surau selepas Solat Isyak pada 24 Julai.
- Doa dipohon agar Sultan Mizan dikurniakan kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan.
- Jawatankuasa masjid dan surau diminta melaksanakan arahan; orang ramai diseru hadir menyertai solat hajat.
Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi portal rasmi Kerajaan Negeri Terengganu, solat hajat itu akan diadakan selepas Solat Jumaat di semua masjid di negeri ini.
Manakala bagi pelaksanaan di surau pula, ia ditetapkan untuk berlangsung selepas solat Isyak pada 24 Julai.
Solat hajat berkenaan diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar Sultan Mizan dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan yang berpanjangan serta dipermudah segala urusan.
Sehubungan itu, JHEAT meminta kerjasama semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau supaya melaksanakan arahan berkenaan mengikut ketetapan.
Orang ramai turut diseru hadir bersama-sama bagi menyertai solat hajat itu di masjid-masjid dan surau-surau berhampiran.