
JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Polis Johor menggerakkan seramai 1,529 pegawai dan anggota bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang sambutan Ambang Merdeka di seluruh negeri itu.
- Op Ambang Merdeka 2026 dilaksanakan 30 Ogos hingga 1 September bagi mencegah jenayah, menjaga ketenteraman awam dan melancarkan pergerakan lalu lintas.
- PDRM memberi tumpuan kepada perlumbaan haram, aksi menunggang motosikal berbahaya, pemanduan melulu, penyalahgunaan dadah, alkohol berlebihan dan pelanggaran lalu lintas.
- Orang ramai dinasihat meraikan secara tertib, rancang perjalanan awal, patuhi peraturan; PDRM akan ambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Ketuanya, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penugasan itu dilaksanakan menerusi Op Ambang Merdeka 2026 bermula 30 Ogos hingga 1 September ini.
Menurutnya, pasukan itu terdiri daripada 168 pegawai kanan dan 1,361 pegawai rendah polis yang bertugas secara bergilir di lokasi strategik serta kawasan tumpuan orang ramai.
“Operasi ini bertujuan mencegah jenayah, menjaga ketenteraman awam dan melancarkan pergerakan lalu lintas, khususnya di lokasi sambutan, pusat bandar, kawasan rekreasi, pusat beli-belah dan jalan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PDRM turut memberi perhatian terhadap perlumbaan haram, aksi menunggang motosikal secara berbahaya, pemanduan melulu, penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol berlebihan dan pelanggaran peraturan lalu lintas.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meraikan Ambang Merdeka secara tertib, berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi arahan keselamatan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara melulu atau agresif,” katanya.
Orang ramai yang hadir juga diminta menjaga keselamatan diri dan keluarga, mengawasi anak-anak serta tidak membawa barangan atau objek yang boleh mengancam keselamatan.
PDRM Johor menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan atau mengganggu ketenteraman awam mengikut undang-undang.