
PULAU PINANG, 28 Ogos – Umat Islam diingatkan supaya sentiasa menyayangi serta mengharapkan perkara terbaik untuk saudara seagama, selaras dengan tuntutan iman dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
- Hindari kebencian, fitnah, mencaci, atau mendoakan keburukan terhadap saudara seagama; itu bukan akhlak mukmin.
- Cintai saudara Islam sebagaimana mencintai diri sendiri; iman tidak sempurna tanpa kasih sayang terhadap sesama.
- Bina hubungan atas hormat, tutur kata sopan dan hikmah; hormati juga bukan Islam, jadikan adab asas kehidupan.
Tokoh ulama, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki berkata sikap membenci, mencaci, memfitnah, menyumpah atau mendoakan keburukan terhadap sesama Islam bukan akhlak seorang mukmin
“Umat Islam tidak seharusnya membiarkan perasaan benci terhadap saudara seagama berlarutan, apatah lagi menyemai kebencian itu dalam kalangan generasi muda,
“Tuntutan mencintai saudara Islam bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa seseorang tidak sempurna imannya sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Maulid Akbar di Permatang Pauh, semalam.
Menurut beliau, hubungan sesama Muslim perlu dibina atas dasar saling menghormati, menjaga tutur kata dan mengelakkan bahasa kasar ketika berbeza pandangan.
Katanya, pendekatan yang lembut dan penuh hikmah lebih mencerminkan akhlak Islam serta dapat memelihara keharmonian masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan sikap menghormati orang bukan Islam juga perlu dipelihara kerana ajaran Islam tidak mengajar umatnya mencaci atau menzalimi mana-mana pihak.
Beliau menyeru umat Islam agar menjadikan adab dan akhlak sebagai asas kehidupan bagi memperkukuh hubungan dalam masyarakat.