KUALA LUMPUR, 5 Mei – Berkuat kuasa 6 Mei 2025, semua Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS), hanya boleh diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan laluan dagangan Malaysia sebagai perantara untuk mengeksport barangan dari negara tertentu ke pasaran AS.
“Sebarang pengeluaran sijil NPCO oleh majlis perniagaan, dewan perdagangan atau persatuan lain yang sebelum ini diberi kuasa akan dihentikan serta-merta,” katanya pada Sidang Media berkaitan isu tarif AS hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga akan meningkatkan audit terhadap semua permohonan sijil NCPO dan menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengesan cubaan pemalsuan dokumen eksport.
Selain itu, kerajaan bersedia menjalankan siasatan anti-lambakan sekiranya berlaku lonjakan import yang boleh menyebabkan kecederaan serius kepada industri tempatan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata semakan terhadap halangan bukan tarif (non-tariff barriers) adalah dilakukan bagi menambah baik prosedur teknikal dan seterusnya membantu mengurangkan defisit dagangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat.
“Langkah ini bukan untuk membuat pembelian besar-besaran secara membuta tuli, tetapi bertujuan meningkatkan eksport kandungan tempatan, menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat AS, dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang inovasi dan teknologi,” katanya lagi.