
BAGAN DATUK, 14 Ogos – Usaha mengangkat institusi masjid sebagai destinasi pelancongan budaya, warisan dan Islam terus diperkasa menerusi penganjuran National Mosque Open Day (NMOD) atau Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 yang berlangsung di sini.
- Program anjuran ITC meluaskan konsep Mosque Open Day ke peringkat lebih luas bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Menjulang peranan masjid bukan hanya pusat ibadah tetapi juga pusat komuniti dan pendidikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat.
- Acara tiga hari menampilkan aktiviti keagamaan, kebudayaan, keusahawanan dan rekreasi serta memupuk pemahaman tentang Islam dan Islamofobia.
Program anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) itu diadakan bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus bertujuan memperluas konsep Mosque Open Day yang sebelum ini hanya dilaksanakan di peringkat komuniti.
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Latihan ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin berkata penganjuran program berkenaan diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat awam mengenai peranan sebenar institusi berkenaan.
“Kita mahu lebih ramai masyarakat memahami fungsi masjid. Kita ingin menaikkan institusi masjid bukan hanya sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti dan pendidikan.
“Ia juga menjadi platform di mana pelbagai lapisan masyarakat di luar sana boleh melawat masjid dan memahami fungsi institusi berkenaan dengan lebih mendalam,” katanya.
Sepanjang tiga hari penganjurannya, pelbagai pengisian menarik telah disediakan merangkumi aktiviti keagamaan, kebudayaan, keusahawanan serta rekreasi.
Ujar beliau, selain itu, program berkenaan turut menjadi platform dalam meningkatkan kefahaman terhadap Islam
dan Islamofobia.
Majlis perasmian program berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu.