fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu depan berikutan tumpuan telah beralih semula kepada data Amerika Syarikat (AS) dengan beberapa data yang akan dikeluarkan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata melihat ke hadapan, data ekonomi AS dijangka akan menjadi pemacu utama permintaan emas dengan tiada risiko geopolitik.

“Oleh itu, kami menjangka dagangan emas dalam julat yang luas dan berpotensi tidak menentu minggu depan, dengan paras dijangka turun naik antara US$2,275 dan US$2,245 setiap auns troy, tertakluk kepada data ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.

Menurut Innes, harga emas merosot baru-baru ini, berikutan ketegangan geopolitik yang mereda susulan terdapat kemajuan dalam rundingan damai di Timur Tengah.

“Selain itu, permintaan rendah dicatatkan dari Asia berikutan mata wang tempatan mengukuh dalam keadaan sentimen risiko yang positif didorong oleh landskap ekonomi yang semakin baik, terutamanya di China.

“Menariknya, pendirian yang kurang cenderung untuk menaikkan kadar faedah daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah mengukuhkan pertukaran asing Asia, termasuk mata wang tempatan, mengurangkan kebimbangan mengenai krisis mata wang,” katanya.

Pada minggu dagangan yang singkat berikutan cuti umum, jumlah niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan merosot kepada 51 lot daripada 68 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 22 kontrak daripada 17 kontrak minggu lepas.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Mei 2024 susut kepada US$2,311.0 setiap auns troy daripada US$2,367.50 setiap auns troy.

Kontrak bagi Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024, masing-masing merosot kepada US$2,322.6 setiap auns troy daripada US$2,410.70 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Menurut London Bullion Market Association pada 2 Mei, harga emas fizikal sebanyak US$2,288.5 setiap auns troy.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN