NG MERS 999: Insiden ambulans merupakan kes terpencil

PUTRAJAYA, 18 November – Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi (KK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) mendakwa insiden dua ambulans kerajaan dihantar ke lokasi sama merupakan kes terpencil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden dua ambulans dihantar ke lokasi sama dikategorikan sebagai kes terpencil oleh KKM, KK dan TM.
  • TM sahkan sistem NG MERS 999 berfungsi normal dengan prinsip “nearest available” diguna pakai.
  • KKM tingkatkan respons lapangan melalui penambahan ambulans, susunan tugas petugas dan penglibatan NGO sukarelawan.
  • Perkhidmatan 999 kekal beroperasi; aplikasi SaveME999 terus digunakan sebagai saluran teks, video dan multimedia.

Dalam kenyataan bersama, KK, KKM dan TM memaklumkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Perkara berkenaan sedang ditangani segera memandangkan setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa rakyat.

“Semakan teknikal TM turut mengesahkan sistem NG MERS 999 berfungsi seperti biasa, termasuk penggunaan prinsip “nearest available” bagi memastikan aset kecemasan terhampir digerakkan dengan cepat.

“KKM memaklumkan usaha memperkukuh respons di lapangan sedang dipertingkat melalui penambahan ambulans, penstrukturan penugasan petugas serta penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia dan NGO tempatan”, menurut kenyataan tersebut.

Perkhidmatan panggilan 999 kekal beroperasi sepenuhnya, manakala aplikasi SaveME999 berfungsi sebagai saluran tambahan untuk komunikasi teks, video dan multimedia.

TM turut menegaskan komitmen untuk terus menambah baik keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999 bagi kelancaran operasi semua agensi kecemasan.