fb fb fb fb fb

NEGERIfm, SWM Environment sasar kumpul 10,000 kg botol plastik

FOTO RTM

NILAI, 24 Ogos – Bersempena Bulan Kebangsaan, Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (NEGERIfm) menjalin kerjasama strategik dengan SWM Environment Sdn Bhd bagi mengumpulkan sebanyak 10,000 kilogram botol plastik.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Penyiaran Malaysia mencatat sejarah Malaysia Book of Records (MBOR) melalui pengumpulan 100,000 kilogram botol plastik dari seluruh negara sempena Jelajah Aspirasi Malaysia.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, semua botol plastik yang dikumpulkan akan dikitar semula demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Dahulu merdeka bererti berjuang untuk kebebasan negara. Kini, kita meneruskan semangat itu dengan memastikan kebersihan sentiasa terpelihara. Apabila kebersihan dijaga, kelestarian alam juga dapat dikekalkan,” katanya.

Orang ramai boleh menyumbang dengan menghantar botol plastik ke 98 fasiliti kitar semula di seluruh Negeri Sembilan yang merangkumi 63 Sangkar Kitarecycle, 25 Drop Off Collection Point, tujuh Pusat Pandu Lalu Kitarecycle, atau ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan gimik perasmian Most Plastic Bottles Collected In A Tour di Dataran Nilai.

Tempoh pengumpulan botol plastik bermula hari ini sehingga 30 Ogos depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE