SEREMBAN, 30 November -Sebanyak RM9.05 juta telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Veterinar dalam pelaksanaan Inisiatif Di Bawah Program Bidang Tumpuan 1 khususnya kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian di Negeri Sembilan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif tersebut sebagai galakan atau booster bagi meningkatkan pengeluaran hasil produk pertanian serta ternakan yang berkualiti dalam memastikan keperluan makanan sentiasa mencukupi di Negeri Sembilan.
"Kerajaan negeri memandang serius terhadap usaha memajukan sektor pertanian di Negeri Sembilan, maka dalam Belanjawan Negeri 2023, sejumlah RM9.05 juta telah diperuntukan bagi tujuan tersebut.
"Antaranya, RM1 juta telah diperuntukkan bagi program Tabung Agro, satu usahasama antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Agro Bank dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah kepada pengusaha dan usahawan tani bagi memperkukuhkan lagi aktiviti-aktiviti pertanian yang sedang diusahakan supaya dapat mencapai skala yang lebih besar, sekali gus dapat menggandakan produktiviti pertanian", katanya pada Majlis Penyerahan Inisiatif Belanjawan Di Bawah Program Bidang Tumpuan 1 Jaminan Bekalan Makanan Kerajaan Negeri Tahun 2023, di Sendayan
Pada pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Aminuddin telah mengumumkan di bawah Bidang Tumpuan 1, iaitu Jaminan Bekalan Makanan, kerajaan negeri telah memperkenalkan lapan inisiatif bagi membantu menangani dan meningkatkan keupayaan jaminan bekalan makanan di Negeri Sembilan.