Dua mangsa penerima pertama faedah LINDUNG 24 JAM

Foto JBPM Johor

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Dua pemandu kenderaan yang terselamat dalam kemalangan ngeri di Simpang Renggam, Johor menjadi penerima pertama yang menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau ‘LINDUNG 24 Jam’ sejak ia dikuatkuasakan semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa cedera disahkan pencarum aktif di bawah Akta 4, layak menerima bayaran cuti sakit dan faedah kecacatan kekal PERKESO.
  • Rawatan termasuk implan dan peralatan pemulihan disediakan tanpa had mengikut keperluan perubatan.
  • LINDUNG 24 Jam mengembangkan perlindungan sosial kepada kemalangan di luar kerja serta pada hari cuti tanpa mengira waktu dan lokasi.
  • Waris tiga mangsa meninggal layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 selepas semakan segera PERKESO.

Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, yang mengalami kecederaan dalam kemalangan terbabit disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta 4, sekali gus melayakkan mereka menerima bayaran cuti sakit serta faedah kecacatan kekal daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, maklumat awal perubatan menunjukkan Husnizam mengalami cedera di bahu dan tangan, manakala Muhammad Amirul cedera di bahagian mulut, yang melayakkan mereka menerima rawatan implan serta peralatan pemulihan tanpa had mengikut keperluan.

“Ramai yang memahami bahawa PERKESO memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja atau semasa menjalankan tugas. Namun melalui LINDUNG 24 Jam, perlindungan sosial kini diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti.

“Tragedi ini membuktikan bahawa musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi. Justeru, LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum dan keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan kesukaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, waris kepada tiga lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut turut layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja) berdasarkan kelayakan masing-masing selepas semakan segera dibuat oleh Skuad PERKESO Prihatin.

Dr. Mohammed Azman menjelaskan, menerusi pelaksanaan konsep ‘LINDUNG 24 Jam’ yang bermula rasmi pada 1 Jun 2026, status perlindungan pencarum kini diperluaskan tanpa mengira waktu dan lokasi kejadian bagi menutup kelompangan perlindungan yang wujud sebelum ini.

“PERKESO merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi dugaan berat kehilangan insan tersayang.

“Ini membuktikan setiap caruman yang dibuat oleh pencarum PERKESO tidak pernah sia-sia, ia akan digunakan untuk membantu mereka yang lain ketika ditimpa musibah. Kita mahu menyediakan benteng keselamatan sosial yang mampan dan utuh apabila musibah melanda tanpa diduga, seperti kes menyayat hati ini,” ujar beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.