fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan tumpu tingkat hasil bukan cukai, perkukuh pendapatan negeri

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 8 Mei - Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi tumpuan meningkatkan hasil bukan cukai, dalam usaha mengimbangi kutipan daripada hasil cukai serta memperkukuh pendapatan kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selaras dengan Kajian Pembinaan Jadual Input-Output dan Akaun Satelit Negeri untuk penyediaan Dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 yang dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Tumpuan kepada hasil bukan cukai dicadangkan berdasarkan kepada dua pertimbangan. Analisis kajian mendapati keupayaan hasil bukan cukai dalam menjana nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK)
adalah lebih tinggi berbanding hasil cukai dan terimaan bukan hasil kedua  hasil bukan cukai bersifat dinamik dan berkorelasi dengan prestasi ekonomi negeri berbanding dengan hasil cukai yang lebih bersifat statik," kata Aminuddin, di sini.

Beliau menjawab soalan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dibacakan ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris mengenai  langkah  serta bidang tumpuan kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan ke-15.

Sementara itu, berdasarkan analisis dan kedudukan semasa ekonomi Negeri Sembilan, terdapat beberapa bidang berpotensi meningkatkan kutipan hasil antaranya transformasi komoditi air serta pengenalan caj perkhidmatan yang menjurus ke arah kelestarian ekonomi.

TETITIA YUSOFF