MTL: PKOB diaktifkan lebih awal, pastikan koordinasi lancar

KUANTAN, 13 Oktober – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKOB di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal untuk pemantauan dan koordinasi sewaktu MTL 2025/2026.
  • MetMalaysia ramal lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa.
  • Amaran Hujan Berterusan akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal untuk tindakan pantas.
  • JPS lapor pengurangan hotspot banjir dari 4,619 kepada 3,683 lokasi hasil projek mitigasi.
  • Perancangan pembinaan Pusat Pemindahan Bencana Kekal di Jerantut bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah proaktif itu penting bagi memastikan setiap agensi bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir besar dan kejadian tanah runtuh susulan jangkaan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan sepanjang musim ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dalam kenyataan memberitahu, ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu melebihi purata biasa lima episod setiap musim.

“MetMalaysia turut menjangkakan MTL kali ini akan berterusan sehinga Penghujung Mac 2026. Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kemuncak hujan pada Disember, dengan Sabah dijangka menerima hujan melebihi paras purata dari November hingga Februari.

“Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar,” jelasnya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata susulan itu MetMalaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan.

Dari aspek persediaan mitigasi pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas (hotspot) banjir daripada 4,619 lokasi pada 2024 kepada 3,683 lokasi tahun ini.

“Perkembangan positif ini hasil pelaksanaan projek mitigasi kerajaan,” katanya yang turut tegaskan komitmen kerajaan negeri masih diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksana dengan berkesan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 2/2025 hari ini di Jerantut yang melibatkan semua Setiausaha Kerajaan Negeri serta agensi tindak balas dan teknikal berkaitan.
 
Mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di daerah Jerantut sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.