fb fb fb fb fb

Motif serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram bersifat persendirian

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor

JOHOR BAHRU, 18 Mei- Serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram semalam tidak mempunyai kaitan dengan agenda Jemaah Islamiyah sebaliknya ia bersifat persendirian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesimpulan awal itu dibuat selepas polis selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengantragedi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek bertindak sendirian didorong motivasi dan kefahamannya sendiri kerana dia serta ahli keluarganya tidak bercampur dengan masyarakat.

“Oleh itu, serangan suspek terpisah dengan misi besar atau kumpulan terancang,” katanya dalam sidang media di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sebentar tadi.

Jelasnya, insiden itu tidak mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Semalam, RTM melaporkan, dua anggota polis terkorban manakala seorang lagi cedera ditembak dan ditetak suspek berusia 21 tahun yang merupakan ahli Jemaah Islamiyah.

Susulan kejadian itu, lima ahli keluarga suspek yang maut itu juga berusia 19 hingga 62 tahun ditahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE