fb fb fb fb fb

MOTAC sambut baik keputusan pembukaan sempadan negara

KUALA LUMPUR, 9 Mac - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman pembukaan sempadan negara yang dibuat oleh Perdana Menteri, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata keputusan tersebut berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19, terutama melibatkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

Melalui kenyataan, beliau berkata pengumuman ini memberi kelegaan dan sinar buat mereka dalam menjana semula ekonomi melalui sektor pelancongan antarabangsa.

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri)

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa.

"Bagi Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap pula, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTKAg (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan", katanya.

Namun bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

MOTAC kekal optimis industri ini akan kembali bangkit, sekali gus menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

MOTAC juga akan sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan oleh seluruh agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April.

Media Baharu