IPOH, 24 Februari- Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan kegagalan Sistem Keselamatan Penumpang (PIES) hingga menyebabkan kematian orang kurang upaya (OKU) penglihatan akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Titiwangsa pada Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, mangsa jatuh ketika tren sudah menghampiri stesen menyebabkan sistem keselamatan tidak sempat dihentikan.
Menurut beliau, setiap stesen dilengkapi dengan PIES yang berupaya memberhentikan tren sekiranya terdapat objek jatuh di atas landasan.
"Sekiranya ada apa-apa objek jatuh dalam trek pun, sistem berkenaan secara automatik akan dimatikan. Berhubung kejadian pada Sabtu ia kebetulan dan mangsa jatuh ke dalam trek pada masa sama tren sampai.
"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan, saya tidak mahu memberi rumusan berhubung punca kejadian. Jadi kena tunggu sehingga siasatan selesai, tetapi sudah tentu kejadian itu bukan disebabkan kegagalan sistem," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Transformasi Bas Berhenti-henti Bas.MY di Dewan Bandaran Ipoh di sini.
Pada masa sama kementerian itu akan menambah baik sistem keselamatan dengan menempatkan kakitangan Prasarana dan polis bantuan untuk membantu penumpang OKU.
Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu skrin platform bagi mengelak kejadian sama berulang.
Dalam perkembangan lain, tiket bagi perjalanan Keretapi Tanah Melayu (KTM) termasuk perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) akan ditambah sempena sambutan Aidilfitri.
"Syarikat-syarikat bas digalakkan untuk mula memohon permit tambahan atau sementara, kita akan berikan kelulusan untuk perjalanan tambahan, KTM juga akan menambah perjalanan mereka," tambahnya.