fb fb fb fb fb

MOSTI perkasa inisiatif pengiktirafan saintis muda

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November– Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membuat pertimbangan untuk pembiayaan penyelidikan baharu kepada saintis muda yang berpotensi  memberi manfaat kepada negara.

Sehubungan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Anugerah Saintis Muda Negara dilihat sebagai platform penting bukan sahaja untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik muda, malah membuka ruang bagi mereka mendapatkan sokongan dana penyelidikan.

"Yang pertama kita memberi pengiktirafan… yang keduanya kita akan cuba kaji apakah projek mereka, kalau ada yang bersesuaian dan mereka ada buat permohonan dengan kita mungkin kita boleh membiayai projek-projek RND mereka jugalah… tapi matlamat utama adalah untuk kita memberi pengiktirafan kepada saintis muda," katanya

Tambah beliau, anugerah berkenaan turut berperanan menghubungkan saintis muda dengan pemain industri serta institusi penyelidikan bagi memperkukuh kerjasama dalam ekosistem STI negara.

"Ini adalah satu inisiatif untuk memberikan pengiktirafan kepada saintis muda dan juga menghubungkan pemain industri dengan saintis dan institusi penyelidikan supaya mereka boleh bekerjasam, ini kerana dalam bidang sains ini kita tak boleh bekerja sendiri, kita mesti bekerjasama dan itu adalah matlamat kitalah." ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Saintis Muda Negara 2025 di ibu negara.

Pemenang kategori Kimia, Profesor ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin dari Universiti Sains Malaysia berkata, kemenangan itu sesuatu yang tidak dijangka kerana persaingan sengit tahun ini dengan 85 pencalonan.

"Penganugerahan yang telah diberikan oleh pihak MOSTI ini agak kompetitif kerana… terdapat 85 pencalonan tahun ini dan Alhamdulillah kami berlima telah berjaya menerima anugerah ini. Walaubagaimanapun saya fikir anugerah ini memberi maksud bahawa saintis-saintis di Malaysia ni memang berbakat… terutama dalam menghasilkan penyelidikan yang berimpak dan seterusnya boleh membantu negara lah dalam membantu ekonomi dan sebagainya." ujanrnya.

Beliau menerima pengiktirafan menerusi penyelidikan teknologi hijau yang menghasilkan produk anti karat berasaskan biomas sisa sawit, satu pendekatan inovatif yang belum diterokai penyelidik lain di negara ini.

Sementara itu, Profesor Dr. Ong Wee Jun merupakan pemenang bagi kategori kejuruteraan menerima pengiktirafan atas penyelidikan berkaitan nano katalisis untuk teknologi fotosintesis tiruan (solar-to-X).

Penghasilan teknologi yang menukar karbon dioksida, plastik, air sisa dan biojisim kepada hidrogen hijau, bahan api mampan serta bahan kimia bernilai tinggi menggunakan cahaya matahari.

"Penyelidikan saya memang bertumpu kepada hidrogen hijau, sekarang saya bekerjasama dengan NanoMalaysia dan juga MOSTI untuk membina tenaga yang lebih mampan dan juga untuk jaminan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian planet yang lebih sihat lah. Itu yang saya harapkan untuk masa depan negara yang lebih lestari." katanya.

SITI NOORAIN ABDULLAH