fb fb fb fb fb

MINDEF pantau secara harian situasi anggota ATM di Lubnan 

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (kiri) bersalaman bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu hadir pada Program Veteran Desa MADANI di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut hari ini/ Foto Bernama

TANAH MERAH, 9 November - Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memantau situasi terkini melibatkan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas melaksanakan misi pengaman MALBATT di Lubnan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementeriannya juga sentiasa berkomunikasi dengan MALBATT secara harian agar sebarang maklumat seperti penugasan, pengoperasian dan situasi di Lubnan sentiasa dikemas kini sehingga ia dimaklumkan ke peringkat pengurusan tertinggi ATM dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata jika ada sebarang perubahan maklumat melibatkan MALBATT di Lubnan ia akan dimaklumkan oleh Mohamed Khaled dari semasa ke semasa.

"Oleh itu, saya yakin bahawa pegawai dan anggota kita yang terlibat dalam misi pengaman MALBATT di Lubnan selamat walaupun mereka berdepan dengan pelbagai risiko kerana mereka ini telah dilatih sebelum ke negara berkenaan.

"Walaupun mereka ini bertugas di kawasan perang, tanggungjawab MALBATT adalah untuk memastikan keamanan di Lubnan sentiasa terjamin dan angggota ATM juga telah mengambil langkah-langkah keselamatan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Veteran Desa MADANI Peringkat Jajahan Tanah Merah di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa MALBATT di Lubnan berikutan enam anggota MALBATT mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Mengulas mengenai keadaan enam anggota MALBATT yang mengalami kecederaan ekoran insiden letupan di Lubnan, Adly berkata keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan susulan.

"Walaupun mereka mengalami kecederaan ringan ia tidak boleh dipandang ringan dan keselamatan anggota ATM sentiasa diutamakan," katanya.

Mengulas sama ada MINDEF akan memindahkan anggota MALBATT di Lubnan jika berlaku serangan sekali lagi, Adly berkata perkara itu bergantung kepada UNIFIL kerana ia perlu mengambil kira penglibatan semua negara yang terlibat misi pengaman bersama UNIFIL.

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) membuat keputusan untuk berundur.

Beliau dilapor berkata buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu buli melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini, Adly berkata MINDEF sedang menambah baik sistem pentadbiran di UPNM termasuk menambah bilangan warden dalam usaha mengekang kejadian buli.

Beliau berkata MINDEF tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan buli dan kejadian yang berlaku sehingga menggusarkan masyarakat terutama ibu bapa untuk menghantar anak ke universiti berkenaan.

Adly berkata dua aspek yang diberi penekanan susulan berlaku insiden buli di universiti berkenaan iaitu aspek undang-undang dan pentadbiran.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelajar senior UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lepas.

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra.

Dia didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini, jam 11.45 malam pada 22 Oktober lepas. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF