fb fb fb fb fb

META tutup FB "Group Budak-Budak Sekolah Rendah"

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching

JOHOR BAHRU, 15 Jun - Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai "Group Budak-Budak Sekolah Rendah" yang didakwa digunakan untuk menyebarkan gambar remaja perempuan tujuan tidak senonoh, telah ditutup.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi META bagi melaksanakan tindakan penutupan itu.

Katanya, MCMC akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak mahu ulas banyak mengenai perkara ini, kerana seperti yang sudah maklum MCMC telah hubungi META dan FB tersebut sekarang telah ditutup dan selepas itu MCMC akan bekerjasama dengan PDRM untuk ambil tindakan susulan," katanya kepada pemberita pada Perasmian Khas Jualan Amal Sastera dan Persembahan Kebudayaan di sebuah pusat beli belah, di sini.

Baru-baru ini pempengaruh media sosial, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28 tahun telah membuat laporan polis selepas gambarnya ketika zaman persekolahan dimuat naik ke dalam kumpulan berkenaan.

Sejak OP Pedo dilancarkan tahun lalu, seramai 13 individu telah ditangkap manakala lebih 40,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak serta lucah ditemui.

Kerajaan juga giat melaksanakan Kempen Internet Selamat (IKS) di 53 buah sekolah.

Pihaknya menyasarkan 344 sekolah di seluruh negara akan melaksanakan kempen berkenaan hingga Ogos.

TETITIA YUSOFF