PUTRAJAYA, 7 November— Kerajaan memandang serius laporan agensi berita antarabangsa Reuters yang mendakwa syarikat teknologi Meta meraih sehingga 10 peratus hasil tahunannya, atau sekitar AS$16 bilion daripada kegiatan haram seperti penipuan dan judi dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata syarikat gergasi teknologi itu perlu memberikan penjelasan penuh berhubung laporan agensi berkenaan. Tegasnya, kegiatan itu sememangnya menyalahi undang-undang di Malaysia.
“Ini kali pertama kita mendapat laporan media antarabangsa oleh Reuters yang dengan terperinci memberikan angka berdasarkan dokumen dalaman pihak Meta. Sekiranya benar, ini amat membimbangkan kerana memberi bayangan bahawa antara sumber keuntungan bagi Meta adalah aktiviti haram termasuk di Malaysia,” jelasnya pada sidang media mingguan hari ini
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata setakat ini belum ada kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta berhubung laporan berkenaan, selain penafian bahawa angka-angka yang dinyatakan tidak dalam konteks sebenar.
Secara purata, satu dokumen bertarikh Disember 2024 menyatakan, syarikat itu menyalurkan sekitar 15 bilion iklan "berisiko lebih tinggi” yang menunjukkan tanda-tanda jelas penipuan kepada pengguna platformnya.
Daripada jumlah itu, pihak Meta telah meraih sekitar RM2.5 bilion hasil daripada iklan penipuan serta judi dalam talian di Malaysia.
“Saya kesal laporan ini keluar semalam kerana pasukan MCMC bersama agensi lain baru sahaja selesai sesi dengan Meta di Singapura. Namun, laporan yang menggemparkan ini akan diteliti dan Meta akan dipanggil untuk memberi penjelasan penuh.” tegasnya.
Beliau turut memberitahu, apabila Akta Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa kelak, platform seperti Meta akan diwajibkan memastikan kandungan berunsur penipuan, judi dan scam tidak lagi dipaparkan, atau berdepan tindakan undang-undang.