fb fb fb fb fb

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 dipengerusikan Sultan Terengganu

(Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama)

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-258 di Istana Negara, di sini, pada Rabu.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 dan 25 November 2021 yang dipengerusikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan, Sultan Mizan berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Baginda turut berkenan menanam pokok Ceri Terengganu (Lepisanthes alata) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Terengganu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut yang julung kali diadakan cetusan idea Al-Sultan Abdullah


(Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Mizan pada Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu di pekarangan Istana Negara, hari ini)

Majlis Penanaman Pokok berkenaan juga adalah yang pertama dibuat dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU julung kali diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-254, manakala Majlis Penanaman Pokok kali pertama diadakan pada mesyuarat ke-255.

Mesyuarat dua hari itu turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor. 

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra. 

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier 6. -BERNAMA

Media Baharu