fb fb fb fb fb

Mesyuarat AFTA buka tirai hari ke-2 AEM ke-57

Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39, berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dihadiri menteri-menteri ekonomi ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, yang bersama-sama meneliti isu-isu ekonomi semasa di peringkat global dan serantau

KUALA LUMPUR, 23 September -Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39, yang berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Mesyuarat tersebut turut dihadiri menteri-menteri ekonomi ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, yang bersama-sama meneliti isu-isu ekonomi semasa di peringkat global dan serantau.

Antara tumpuan perbincangan adalah menilai pencapaian ekonomi ASEAN setakat ini, selain meneroka langkah baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang dapat menyokong agenda integrasi serantau.

ASEAN yang kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam kekal komited untuk membina ekosistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjadi tuan rumah kepada lebih 500 delegasi sepanjang siri mesyuarat AEM kali ini.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, jadual rasmi AEM melibatkan 20 mesyuarat dan program sampingan dari 22 hingga 26 September, termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN serta Rakan Dialog Sektoral.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN, selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

TETITIA YUSOFF