KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 hari ini menumpukan kepada 12 agenda utama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan inisiatif di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta mandat yang telah ditetapkan oleh para menteri kepada pegawai kanan ekonomi dan badan sektoral ASEAN.
Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, laporan yang dibentangkan mencerminkan usaha berterusan pegawai kanan ekonomi ASEAN dalam memastikan kemajuan dan pelaksanaan AEC berjalan dengan lancar.
"Memandangkan kebanyakan perkara hanyalah laporan kemajuan di bawah AEC, saya mencadangkan agar kita meminimumkan campur tangan dalam perkara yang hanya untuk makluman.
"Sebaliknya, kita menumpukan perbincangan kepada bidang atau isu tertentu yang mungkin memerlukan panduan atau keputusan daripada AECC bagi memastikan perbincangan hari ini berjalan dengan lebih teratur dan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada mesyuarat tersebut.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste dalam mesyuarat berkenaan, selaras dengan Garis Panduan Disemak yang diterima pakai oleh Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-35.