fb fb fb fb fb

Merewang dan bersukan, kembalikan nostalgia popular zaman dahulu

Seramai 45 pelajar menyertai Program Rewang Rangers di Kampung Hulu Kalong dekat Hulu Yam Bharu

BATANG KALI, 30 Disember - Program Rewang Rangers antara Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur bersama penduduk Kampung Hulu Kalong dekat Hulu Yam Bharu, di sini menghidupkan kembali aktiviti bergotong-royong dan bersukan yang popular pada zaman dahulu.

Pengarah program, Mohd Rahmat Mohd Shariff berkata, program khidmat masyarakat yang julung kali diadakan itu memfokuskan kepada dua aktiviti utama iaitu kenduri serta sukan rakyat bersama penduduk setempat.

"Program ini merangkumi aktiviti kenduri dan sukan rakyat bertujuan memupuk semangat kerjasama sama antara satu sama lain tanpa mengira waktu dan status kehidupan.

"Selain itu, acara sukan pula untuk mengembalikan nostalgia kegemilangan permainan tradisional yang pernah dimainkan oleh masyarakat lalu yang kian hilang ditelan zaman," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Rahmat, seramai 45 pelajar menyertai program projek tahun ketiga itu bagi memenuhi keperluan kursu Pembangunan Masyarakat IV.

"Ia juga bagi memberi peluang kepada semua pelajar PJJ yang sudah mempunyai karier dan pekerjaan masing-masing untuk bertemu dan bekerjasama melaksanakan sesuatu program sekali gus meningkatkan jaringan komuniti dan nama baik PACE UUM," katanya.

Sementara itu, Penasihat Program, Zulhairi Zakariah berkata penganjuran program itu merupakan antara usaha PACE UUM dalam mendekati dan menyumbang kepada komuniti setempat.

"Ia selaras dengan hasrat menjadikan universiti untuk masyarakat yang bukan sahaja memberi tumpuan dalam aspek akademik semata-mata malah memberikan sumbangan kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat," katanya.

Seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada komuniti setempat, ahli kariah surau dan ibu bapa terlibat dalam program itu.

Pada program tersebut, pelajar PJJ UUM turut menyumbangkan sumbangan wang tunai berjumlah RM200 kepada 10 keluarga asnaf.

Manakala RM13,000 disumbangkan kepada Surau Al-Qariah hasil tajaan beberapa pihak swasta dan orang persendirian.

GRACE AISYAH KEDAYAN