
JASIN, 7 April – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan sembilan perkampungan orang asli di negeri itu akan menerima perkhidmatan Wi-fi percuma menjelang akhir tahun ini.
- Perkhidmatan WiFi akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 masyarakat orang asli.
- Peruntukan sebanyak RM500,000 tahun lepas dan RM450,000 tahun ini di bawah Bajet Digital Negeri Melaka.
- Penduduk menghargai kemudahan untuk pembelajaran, akses lebih mudah dan penjimatan kos data keluarga.
Menurut Exco Sains, Teknologi, Inovasi & Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, perkhidmatan berkenaan akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 masyarakat orang asli.
Tahun lalu, sebanyak lima buah kampung orang asli iaitu di Kampung Orang Asli Solok Terentang Jus, Batang Melaka, Gapam Baru, Bukit Seraya dan Kampung Orang Asli Lubok Bandung telah menerima perkhidmatan berkenaan.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan semua kampung orang ssli di negeri Melaka dapat didigitalkan menjelang bulan Ogos.
“Pada tahun lepas, inisiatif ini diperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah Bajet Digital Negeri Melaka, manakala bagi tahun ini, sebanyak RM450,000 peruntukan.
“Peruntukan tersebut turut merangkumi beberapa lokasi lain, termasuk usaha menyelesaikan masalah di kawasan Sekolah Menengah Arab JAIM di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Melaka dan JAIM”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Perkhidmatan WiFi Percuma Negeri Melaka di Kampung Orang Asli Solok Terentang Jus, Jasin.
Sementara itu, masyarakat orang asli turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana tidak meminggirkan golongan itu untuk sama-sama menerima perkhidmatan berkenaan secara percuma.
“Usaha ini memudahkan anak-anak kampung, seolah-olah mereka seperti anak-anak sekolah, dan turut memudahkan orang ramai untuk belajar,” kata Tok Batin Kampung Orang Asli Solok Terentang Rahmat Ali.
“Terima kasih banyak kepada Datuk kerana menyediakan WiFi di kampung kami. Kami sangat berbangga dan menghargai usaha ini”, kata penduduk kampung orang asli Norini Jani.
“Dahulu kami terpaksa pergi ke kawasan sawit atau loji, tetapi sekarang, anak-anak hanya perlu berada di bilik di tepi rumah sahaja, sudah boleh mengaksesnya,” kata penduduk kampung orang asli Camchari Jani.
“Memang menjimatkan, terutama bagi keluarga yang tidak mampu membeli data di luar, contohnya jika sebulan perlu RM35 atau lebih. Jika satu keluarga ada lapan orang menggunakan telefon, dengan adanya WiFi percuma ini, boleh berjimat,” ujar penduduk kampung orang asli Nora Suyu.