fb fb fb fb fb

Media terperangkap ketika buat liputan banjir di Kelantan

GUA MUSANG, 25 Disember- Hujan lebat berterusan dan air naik secara mendadak di Gua Musang menyebabkan lebih 10,000 penduduk orang asli terperangkap.

Tinjauan RTM mendapati Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis terputus hubungan apabila sebuah jambatan besi telah dilimpahi air Sungai Betis.

Kampung pedalaman orang asli yang terjejas pula termasuk di Pos Bihai, Pos Gob, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Tohoi apabila jalan perhubungan balak runtuh dan rosak akibat banjir.

Di RPS Kuala Betis, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis yang menempatkan 32 keluarga dan di Rumah Tamu Masjid Kuala Betis yang menempatkan 11 keluarga. 

Tiga pengamal media di Gua Musang termasuk kru RTM terkandas ketika membuat liputan banjir di kawasan penempatan orang asli suku kaum Temiar RPS Kuala Betis.

Bagaimanapun, mereka bertiga selamat dibawa keluar menggunakan lori APM Gua Musang pada pukul 4.00 petang tadi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM