Tiga struktur kedai dirobohkan, gagal patuh notis pengosongan tapak

Foto Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK)

KULIM, 9 April – Tiga buah struktur gerai telah dirobohkan selepas pemiliknya gagal mematuhi notis penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah dikeluarkan sebelum ini bagi tujuan pengosongan tapak.

RINGKASAN BERITA AI
  • MPKK keluarkan 11 notis kompaun kepada penjaja tanpa lesen dan pemilik perniagaan yang melanggar syarat lesen, termasuk menghalang laluan awam.
  • Operasi dijalankan selaras Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; tindakan diambil bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Dan Gerai (MPKK) 2009.
  • Barangan dan peralatan disita dipindahkan ke Depoh Simpanan MPKK; orang ramai dinasihatkan tidak mendirikan binaan tanpa kebenaran.

Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff dalam kenyataan memaklumkan, dalam operasi sama, MPKK turut mengeluarkan 11 notis kompaun terhadap penjaja tanpa lesen serta pemilik perniagaan yang melanggar syarat lesen, termasuk menyebabkan halangan di laluan awam.

“Operasi merobohkan struktur gerai tanpa kebenaran itu dijalankan di Jalan Kulim–Serdang, Mukim Sungai Ular selaras dengan peruntukan bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kesalahan diambil tindakan bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Dan Gerai (MPKK) 2009,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak lapan buah gerai telah dirobohkan sendiri oleh pemilik. Barangan dan peralatan perniagaan yang disita telah dipindahkan ke Depoh Simpanan MPKK untuk tujuan rekod dan dokumentasi.

Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendirikan sebarang binaan tanpa kebenaran bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.