
LIMBANG, 16 Ogos – Masalah dokumentasi penduduk Limbang yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri perlu diselesaikan segera, khususnya membabitkan masyarakat di kawasan pedalaman dan perbatasan.
- Masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri penduduk Limbang, khususnya komuniti pedalaman dan perbatasan, perlu diselesaikan segera.
- Inisiatif kerajaan termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas dan kerjasama JPN serta agensi negeri telah membantu meluluskan dokumen bagi ramai pemohon.
- Hasbi mengingatkan golongan muda agar tidak terlibat jenayah rentas sempadan seperti pengedaran dadah dan penyeludupan rokok.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, masih terdapat penduduk termasuk masyarakat Penan yang belum memiliki kad pengenalan.
Datuk Hasbi berkata, isu itu memerlukan tindakan segera bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada kemudahan serta arus pembangunan sebagai rakyat Malaysia.
“Saya yakin masih banyak rakyat kita yang duduk di sempadan ini belum ada kad pengenalan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Outreach UKAS “Memperkasa Komuniti Perbatasan” Peringkat Bahagian di Dewan Kampung Belading, di sini hari ini.
Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Keselamatan Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Khas MA63 telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan pada 21 Oktober 2021.
Katanya permohonan itu bagi menangani masalah penduduk Sarawak yang berdepan ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Susulan itu, Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi Menangani Isu Penduduk Sarawak Yang Berdepan Ketiadaan Dokumen Pengenalan Diri ditubuhkan dan mula beroperasi pada 2023.
Menerusi kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak di bawah Jabatan Premier Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum, seramai 5,776 pemohon dari seluruh Sarawak telah diluluskan pengeluaran dokumen pengenalan diri.
Bagi Daerah Limbang, program PPK yang dilaksanakan di Long Napir pada 1 Mei 2025 dan Dewan Suarah Limbang dari 5 hingga 10 Mei 2025 menyaksikan 72 pemohon diluluskan dokumen pengenalan diri.
Bagi kawasan Batu Danau pula, seramai 52 orang berjaya mendapatkan dokumen berkaitan, termasuk 28 orang yang menerima surat makluman kelulusan.
Dalam pada itu, Hasbi mengingatkan masyarakat khususnya golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, perbuatan membawa dadah, menyeludup rokok dan bahan terlarang ke negara jiran boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara berkenaan.