KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melupuskan 190 kotak rokok seludup bernilai lebih RM1.3 juta tidak termasuk cukai.
Pengarahnya, Kapten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata kesemua 1,900,000 batang rokok putih itu dirampas pihaknya di perairan Besut pada 9 April tahun lepas.
Beliau berkata, kerja-kerja pelupusan dijangka mengambil masa selama dua hari menggunakan mesin yang dipinjam daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Rokok ini akan dihancurkan dahulu sebelum dilupuskan di Tapak Pelupusan Sampah, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Kuala Nerus,” katanya pada sidang media pelupusan rokok seludup yang dirampas pihaknya, di sini.
Tambah Khairul Anuar, pihaknya telah mengenal pasti perubahan modus operandi sindiket penyeludupan rokok ke negeri itu iaitu dengan cara runcit atau kecil-kecilan dengan menggunakan bot.
"Kita masih dapat mengesan kegiatan-kegiatan ini, cuma sekarang dia tidak masuk secara banyak, sekarang dia masuk secara runcit atau sikit-sikit dan tidak mengunakan lori lagi. Dahulu rokok diseludup secara banyak menggunakan lori tiga dan lima tan untuk diangkut sekali, sekarang dia buat secara runcit," katanya.