RANTAU PANJANG, 26 Disember- Mayat Nur Damia Qaisara Mohd Sabri, 11 tahun, mangsa kedua yang hilang selepas terjatuh ketika bermain banjir di sungai Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, Rantau Panjang, ditemukan, pukul 9 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, mangsa ditemukan pada jarak 100 meter dari kawasan mangsa pertama, Siti Aisyah, ditemukan.
Katanya, proses membawa keluar mayat mangsa sedang dilakukan untuk diserahkan kepada pihak polis, dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Lati, Pasir Mas .
"Kami dalam proses membawa jenazah keluar untuk diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke unit forensik Hospital Tanah Merah (HTM) bagi tujuan bedah siasat.
"Memandangkan lokasi kejadian turut dilanda banjir, kami mengalami sedikit kesukaran untuk membawa jenazah keluar kerana jalan utama ditenggelami air separas satu meter," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan seramai lapan anggota bomba dari Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.
Media sebelum ini melaporkan, seorang murid perempuan tahun lima, Siti Aisyah Mahzi, 11, ditemukan lemas, manakala rakannya iaitu Nur Damia Qaisara hilang, selepas mereka terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun di sini, kelmarin.
ARTIKEL BERKAITAN
Kanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas, seorang lagi masih hilang di Rantau Panjang