fb fb fb fb fb

Malaysia yakin capai sasaran 50 peratus SSL sektor daging lembu

Datuk Seri Mohamad Sabu

SERDANG, 14 Mei- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yakin Malaysia capai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi sektor daging lembu menjelang 2030.

Perkara itu dapat dicapai melalui pengembangan pelbagai inovasi yang diteroka Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta keterbukaan industri mengaplikasikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dalam sektor ternakan.

"Sekarang ini kalau kita lihat di china terutama sekali pertanian mereka ataupun ternakan mereka semua dikawal dengan teknologi AI dan sebagainya. Kita perlu pertingkatkan dari masa ke masa dan keyakinan seterusnya bahawa kita perlu ada keyakinan yang kita boleh lakukan.

"Misalnya kilang padi kita lihat kita sanggup berbelanja lebih RM5 bilion di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Sekarang ini kerana nak merubah struktur pengairan dan sebagainya untuk membolehkan lima musim untuk dua tahun," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Pada 8 Mac lepas, Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan untuk memperluas penternakan lembu secara fidlot iaitu membangunkan semula ladang mega ternakan lembu bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan sekali gus meletakkan negara dalam landasan tepat ke arah mencapai sasaran 50 peratus SSL bagi sektor daging menjelang 2030.

Mohamad berharap setiap hala tuju dan fokus dicapai sepanjang tahun ini adalah berpandukan kepada Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang menekankan lima teras termasuk penerokaan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian seperti AI.

"Saya berharap kepada semua agar konsep PINTAR ini dapat diperluas dan disematkan dalam fikiran dan jiwa setiap ejen pengembangan kita. PINTAR adalah kaedah kita untuk mencari solusi kepada permasalahan pertanian yang telah berdekad lamanya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI