fb fb fb fb fb

Malaysia-Turkiye fokus pertingkat kerjasama perdagangan dan pelaburan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Seri Perdana hari ini/BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Februari- Malaysia dan Turkiye bersetuju akan menumpukan usaha terhadap peningkatan beberapa sektor strategik selain memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Ini termasuk bidang infrastruktur dan pengangkutan, tenaga dan kesihatan serta isu antarabangsa dan pertahanan.

"Saya telah mencadangkan agar kita meningkatkan pelaburan perdagangan melebihi angka tersebut, antara lima hingga sepuluh bilion, yang sememangnya sangat bercita-cita tinggi.

Namun, saya percaya dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh rakan-rakan sekerja saya, kita dapat merealisasikannya. Tidak ada sebab mengapa ekonomi membangun dan ekonomi pesat seperti Malaysia dan Turkiye tidak boleh meningkatkan perdagangan.

Oleh itu, kita perlu memberi tumpuan kepada bidang seperti semikonduktor, komoditi utama, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, serta sektor pertahanan yang mesti kita perkasakan," kata Anwar kepada pemberita, hari ini.

Untuk jangka panjang, kerjasama erat antara Malaysia dan Turkiye dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan dan memperkukuh hubungan diplomatik serta ekonomi antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima sebuah kenderaan elektrik (EV) Togg sebagai hadiah daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan menghadiahkan kereta Togg T10X berwarna putih itu kepada Datuk Seri Anwar sebagai simbol persahabatan dua buah negara.

Datuk Seri Anwar kemudiannya memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan.

Ia bagi menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta jamuan makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri.

Ditubuhkan pada 2018, Togg adalah pengeluar EV nasional utama pertama Turkiye.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM