
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan yang dijangka dimeterai tahun ini, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik serta keselamatan kedua-dua negara.
- MoU menjadi kerangka penting memperluas kerjasama pertahanan dan pembangunan industri tempatan yang memberi manfaat bersama.
- Meningkatkan kawalan keselamatan sempadan menerusi Jawatankuasa Sempadan Bersama; Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat GBC Ke-57.
- Malaysia fasilitator proses dialog damai Selatan Thailand dan sokong penyertaan pegawai Thailand dalam Malaysian Defence Cooperation Program.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen sempena lawatan pengenalan beliau ke Malaysia selepas dilantik pada 30 Mac lalu.
Menurut beliau, MoU berkenaan akan menjadi kerangka penting bagi memperluas kerjasama pertahanan, termasuk pembangunan industri tempatan yang memberi manfaat bersama.
“Antara yang kita beri penekanan kepada soal dengan termeterai MoU ini supaya kita dapat beri perhatian kepada kerjasama dalam pembangunan industri tempatan,”katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Leftenan Jeneral Adul di Wisma Pertahanan, hari ini.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand menerusi mekanisme Jawatankuasa Sempadan Bersama (GBC).
Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat GBC Ke-57 yang dijangka berlangsung menjelang akhir tahun ini.
Katanya, kerjasama berterusan antara kedua-dua negara penting bagi menangani ancaman penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin, pencerobohan sempadan serta jenayah rentas sempadan.
“Soal keselamatan sempadan, soal operasi bersama antara kedua-dua angkatan tentera, soal menjayakan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan dan soal untuk koordinasikan pengurusan bencana di kawasan sempadan akan dibincangkan dalam mesyuarat GBC,” katanya.
Selain aspek keselamatan, kedua-dua negara turut membincangkan penyertaan pegawai tentera Thailand dalam Malaysian Defence Cooperation Program (MDCP), sebagai platform memperkukuh diplomasi pertahanan serta jaringan profesional antara angkatan tentera.
Dalam perkembangan sama, Malaysia menyambut baik pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand, dan berharap perkembangan itu dapat memberi momentum baharu kepada usaha mencapai keamanan serta kestabilan di Selatan Thailand.
Malaysia turut melantik Datuk Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand.
Datuk Seri Mohamed Khaled menegaskan isu keselamatan domestik di Selatan Thailand perlu dibezakan daripada aspek penguatkuasaan dan jenayah rentas sempadan, sambil menghormati kedaulatan Thailand dalam menangani isu dalaman negara itu.
“Peranan Malaysia adalah sebagai pemudah cara dan penyokong kepada proses dialog damai demi kestabilan serantau,” katanya.
Sementara itu, Thailand turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia dalam meredakan ketegangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja serta mengiktiraf peranan Kuala Lumpur dalam memudah cara dialog antara pihak berkaitan.
Pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia dan Thailand untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan, menjamin keselamatan sempadan serta memelihara keamanan serantau.