KUALA LUMPUR, 29 Januari – Usaha Malaysia dalam membangunkan semula Gaza terus mendapat pengiktirafan, mencerminkan komitmen kukuh negara di peringkat tempatan, serantau, dan antarabangsa.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin mampu memberi pengaruh besar dalam memperjuangkan hak rakyat negara itu.
“Sistem kesihatan di Gaza telah runtuh sepenuhnya, begitu juga dengan sistem pendidikannya. Lebih 700,000 pelajar Palestin kehilangan satu setengah tahun akademik mereka, manakala lebih 60 peratus hospital di Gaza telah diserang dan diratakan ke tanah.
“Hanya sebilangan kecil hospital yang masih berfungsi. Tiada kemudahan untuk merawat mangsa yang cedera, menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Malaysia dan negara jiran. Oleh itu, komuniti antarabangsa perlu segera menyediakan bantuan kesihatan kecemasan kepada mereka yang amat memerlukannya,” katanya.
Tambah Walid, keutamaan ketika ini adalah memenuhi keperluan asas kemanusiaan di Gaza, termasuk bekalan udara bersih, air, makanan, dan tempat perlindungan.