fb fb fb fb fb

Malaysia terus runding dengan AS elak kesan tarif 25%

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR, 8 Julai –Malaysia komited menjalankan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi melindungi kepentingan negara susulan keputusan Washington mengenakan tarif balas sebanyak 25 peratus terhadap barangan Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah memulakan langkah diplomasi dan perbincangan rasmi dengan Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) sejak April lalu bagi mengkaji semula keputusan tersebut.

“Setakat ini, Malaysia masih meneruskan perbincangan dengan pihak pentadbiran Amerika Syarikat sehingga tarikh yang ditetapkan pada bulan Ogos, manakala dua negara iaitu Vietnam dan United Kingdom telah pun memuktamadkan persetujuan dengan AS,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Menurut beliau, Malaysia juga sedang berkoordinasi dengan rakan dagang serantau bagi merangka strategi bersama yang mampu memberi kelebihan kepada rantau ini secara keseluruhan.

Tarif yang diumumkan atas alasan keselamatan ekonomi oleh pihak AS memberi kesan kepada 14 negara termasuk Malaysia, Thailand dan Laos.

Namun, kerajaan yakin bahawa penyelesaian secara rundingan yang konstruktif masih boleh dicapai demi melindungi sektor eksport strategik negara.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN