fb fb fb fb fb

Malaysia terus jadi rakan strategik Indonesia - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Prabowo Subianto

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Malaysia akan terus menjadi rakan strategik Indonesia selain meningkatkan jambatan rasa dan ikatan persahabatan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, beliau yakin dengan pelantikan Presiden Indonesia Prabowo Subianto akan bersama-sama membangunkan kerukunan dengan Malaysia dan mengangkat martabat di rantau ini.

"Saya hadir dalam majlis yang penuh bermakna dan penting ini dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat bangsa Indonesia.

"Dengan perjalanan panjang politik Bapak Prabowo Subianto, dengan segala tantangan dan mehnah (ujian) yang dilalui, saya yakin beliau akan berkhidmat sepenuh hati serta akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat dan harkat rantau ini ke tingkat yang lebih baik," katanya.

Perdana Menteri menghadiri majlis mengangkat sumpah Prabowo, 73, sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia hari ini.

Dalam pada itu Anwar turut Anwar mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Indonesia ketujuh Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan sepanjang menjawat jawatan itu.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden RI ke 7, Bapak Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang beliau terus hulurkan kepada Malaysia sepanjang beliau menjadi Presiden mulai 20 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2024," katanya.

Prabowo kini memegang jawatan sebagai Presiden Indonesia susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari lalu dengan memperoleh 59 peratus undi.

Prabowo bersama-sama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI