fb fb fb fb fb

Malaysia terajui usaha perkukuh hak asasi manusia ASEAN

Agenda hak asasi manusia dan pembangunan inklusif di rantau ASEAN terus diperkukuh menerusi kepengerusian Malaysia dalam ASEAN / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 April – Agenda hak asasi manusia dan pembangunan inklusif di rantau ASEAN terus diperkukuh menerusi kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.

Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata agenda hak kepada pembangunan menjadi antara fokus utama yang diketengahkan menerusi Perbincangan Kali Kedua Mengenai Hak Kepada Pembangunan yang bermula hari ini selama dua hari.

Beliau menjelaskan, perbincangan strategik itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia untuk mempamerkan komitmen membentuk agenda hak asasi manusia yang berpaksikan rakyat dan berorientasikan masa hadapan.

“Sesi ini menjadi pentas terbaik untuk golongan pakar, pemegang taruh dan masyarakat berkongsi pandangan, selain menangani cabaran bersama dalam kalangan negara anggota,” katanya pada sidang media selepas sesi perbincangan berkenaan di sini, hari ini.

Menurut Edmund Bon, cabaran keselamatan bukan tradisional kini semakin ketara, termasuk isu pelarian, buruh paksa dan konflik.

Oleh itu, katanya, adalah penting untuk merangka pelan tindakan, mendengar pandangan masyarakat sivil, bertindak pantas dan menangani ancaman tersebut bagi memastikan ASEAN kekal relevan.

“Di bawah kepengerusian Malaysia, pelan tindakan AICHR buat pertama kali dibuka untuk konsultasi sejak penubuhannya pada 2009. Ini satu langkah besar, dan Malaysia terus menggalakkan penglibatan para pemegang taruh, termasuk masyarakat sivil.

"Kita juga membawa ramai pakar untuk membantu merangka strategi serta pilihan tindakan yang boleh dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa komuniti ASEAN perlu lebih proaktif dalam menangani isu pelarian, hak asasi manusia, perubahan iklim dan konflik di rantau ini.

Beliau turut menegaskan pembangunan sebenar tidak hanya melibatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut merangkumi aspek kesejahteraan masyarakat.

Perbincangan itu turut berperanan dalam penyediaan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR (2026–2030) selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, dengan penekanan kepada pengukuhan perlindungan hak asasi manusia serta keterlibatan bersama para pemegang taruh di seluruh ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN