
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa.
- Perdana Menteri mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran, menyampaikan ucapan Eid Mubarak dan doa rakyat Malaysia.
- Beliau berharap Iran segera kembali aman serta ketegangan dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi.
- Perdana Menteri merakamkan penghargaan atas bantuan Iran dalam urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz.
- Presiden Iran menghargai pendirian Malaysia, menjemput Perdana Menteri ke Tehran untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon, hari ini.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran.
“Saya menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab,” menurut hantaran Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas dukungan serta kerjasama pihak Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz baru-baru ini.
“Sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,” ttambah kenyataan itu.
Menerusi hanaran sama Presiden Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa.
Presiden Iran juga mengundang Perdana Menteri untuk mengadakan lawatan ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” menurut hantaran itu.