Keluarga Allahyarhamah Nur Izzati ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia

Jenazah Nur Izzati Humaira Azizul, 19, dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat/ BERNAMA

SUNGAI BULOH, 26 Mei – Keluarga Allahyarhamah Nur Izzati Humairah Azizul, 19, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama mendoakan serta terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu di Bukit Asa, Hulu Bernam sehingga jasadnya ditemukan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga menghargai sokongan dan bantuan pelbagai pihak sejak hari pertama kehilangan.
  • Keluarga menunggu perkembangan bedah siasat sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Trolak Utara, Perak.
  • Nur Izzati ditemukan meninggal selepas operasi SAR empat hari melibatkan 114 anggota pelbagai agensi dan sukarelawan.

Ibu saudara Allahyarhamah Nur Izzati Humairah, Nor Hazelin Masduki, 52, berkata, sokongan dan bantuan pelbagai pihak sejak hari pertama kehilangannya amat dihargai keluarga.

“Bagi pihak keluarga, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah sama-sama dalam usaha pencarian Nur Izzati Humairah sehingga jasadnya ditemui.

“Jadi, pihak keluarga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan yang sama-sama turut mendoakan. Jadi, itu daripada keluarga kami. Terima kasih,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini malam ini.

Menurut Nor Hazelin, keluarga masih menunggu perkembangan lanjut berhubung proses bedah siasat Allahyarhamah Nur Izzati Humairah. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Trolak Utara, Perak.

Terdahulu, Nur Izzati Humairah dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Asa, Hulu Bernam pada Sabtu lalu selepas dipercayai turun bersendirian lebih awal daripada ahli keluarganya.

Mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira pukul 11.58 pagi tadi selepas operasi SAR selama empat hari melibatkan 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.