Malaysia tawar bantuan tangani kebakaran hutan dan tanah di Indonesia

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 September – Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk melaksanakan operasi pemadaman dari udara menerusi kaedah ‘water bombing’ menggunakan helikopter serta sokongan pesawat amfibi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia sedia melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) jika perlu, bergantung kepada keadaan di lapangan dan persetujuan kedua-dua kerajaan.
  • Keupayaan agensi negara seperti NADMA, JBPM, APMM, MET Malaysia dan TUDM boleh digerakkan bagi menyokong operasi kawalan kebakaran.
  • Bantuan diselaras mengikut ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP), tertakluk kepada permintaan serta persetujuan kerajaan Indonesia; pemantauan titik panas dan kualiti udara diteruskan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup, berkata Malaysia turut bersedia melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA), sekiranya diperlukan, bergantung kepada keadaan di lapangan dan persetujuan kedua-dua kerajaan.

“Tawaran itu dibuat susulan perbincangan dua hala bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat, termasuk pertemuan di Bali pada 8 Julai lalu dan panggilan telefon pada 24 Ogos.

“Malaysia juga bersedia menggerakkan keupayaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyokong operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Katanya lagi, penyelarasan bantuan akan dilaksanakan selaras ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) serta tertakluk kepada permintaan dan persetujuan kerajaan Indonesia.

Dalam pada itu, Malaysia akan terus memantau titik panas dan kualiti udara menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MET Malaysia.

Kerjasama dengan Indonesia turut diperkukuh bagi menghadapi risiko kebakaran hutan dan tanah serta ancaman jerebu rentas sempadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.