Kedutaan AS zahir takziah susulan nahas helikopter Ulu Baram

Foto FB U.S. Embassy Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 9 September – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima rakyat Malaysia ketika melaksanakan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, Sarawak, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedutaan AS menyifatkan petugas FDS itu sebagai wira yang membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman.
  • Misi mencerminkan semangat khidmat bakti, belas ihsan dan tanggungjawab memastikan akses kesihatan kepada kawasan jauh.
  • Kedutaan merakam penghormatan kepada semua petugas yang terkorban ketika menjalankan tugas demi masyarakat.
  • CAAM laporkan helikopter BO-105 terhempas berhampiran STOLport Long Lellang; pesawat berlepas dari Miri membawa juruterbang dan pasukan perubatan.

Menerusi kenyataan hari ini, kedutaan itu menyifatkan kelima-lima mangsa sebagai wira yang sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman yang jauh daripada bandar dan kemudahan hospital.

Menurut kenyataan itu, misi berkenaan mencerminkan semangat khidmat bakti, belas ihsan dan tanggungjawab dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kami berduka atas kehilangan yang amat menyayat hati ini dan menghormati jasa mereka yang telah menyumbangkan masa, kepakaran dan akhirnya mengorbankan nyawa dalam perkhidmatan kepada orang lain,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan AS turut merakamkan penghormatan kepada semua petugas yang terkorban ketika menjalankan tugas demi masyarakat.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu, termasuk juruterbang, terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek dan Berlepas (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan helikopter berkenaan berlepas dari Miri dan membawa seorang juruterbang, seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat yang sedang melaksanakan tugas rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.