
KUALA NERUS, 9 September – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi di wilayah berkenaan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Agenda TVET mesti disokong untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan industri baharu
- ECRL merancakkan pertumbuhan industri baharu, tarik pelabur timur dan merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat
- Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi penting; kebolehpasaran graduan TVET tinggi membuka peluang pekerjaan setempat
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, perkembangan itu perlu disokong menerusi agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan industri baharu.
“ECRL bukan sahaja memudahkan pergerakan barangan dan manusia, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan industri baharu selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 di Universiti Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, perkembangan berkenaan turut membuka ruang dan peluang kepada masyarakat Pantai Timur serta pelabur dari negara-negara timur untuk meneroka potensi pertumbuhan ekonomi di wilayah berkenaan.
“Ini juga akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dengan Pantai Barat,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menjelang 2047, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang kepada 3.47 peratus menerusi sumbangan ECRL.
Terdahulu, Mohd Shahar menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 di Universiti Malaysia Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, graduan TVET perlu berani tampil sebagai tenaga profesional, teknologis, usahawan serta pemimpin industri bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.
Kadar kebolehpasaran graduan masing-masing merekodkan 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti.
Justeru, pembangunan ECRL dan agenda TVET perlu bergerak seiring supaya manfaat pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup masyarakat setempat.
Menjelang pembentangan Bajet 2027 pula, tumpuan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dilihat penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia mengisi keperluan industri baharu yang bakal berkembang susulan pembangunan ECRL.