
MERANG, 9 September – Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JAPEN Terengganu) mempergiatkan usaha mendekati masyarakat menerusi penganjuran program Jiwa Komuniti MADANI bersama pelbagai agensi kerajaan, menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
- Merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan komuniti luar bandar terutama golongan nelayan.
- Memberi pemahaman terus kepada komuniti supaya tiada salah faham tentang tugas dan fungsi agensi kerajaan.
- Penglibatan jabatan dan agensi secara bersepadu bersama masyarakat untuk saling lengkap-melengkapi.
- Program akan diperluaskan ke seluruh 96 Komuniti MADANI di Terengganu untuk capaian lebih meluas.
Menurut Pengarah JAPEN Terengganu, Muhd Nor Aswadi Md. Nor, program tersebut dapat merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dengan masyarakat luar bandar, khususnya golongan nelayan.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan secara tidak langsung memberi pemahaman secara terus kepada komuniti setempat agar tidak timbul salah faham berkaitan tugas dan fungsi sesuatu agensi kerajaan dalam kehidupan seharian mereka.
“Kita merealisasikan ‘the whole of government, the whole of nation’, yang bermakna penglibatan jabatan dan agensi kerajaan secara bersepadu.
“Kita juga melibatkan masyarakat ataupun rakyat kerana agensi kerajaan dan rakyat ini tidak boleh dipisahkan dan saling lengkap melengkapi,” katanya.
Jelasnya, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh 96 Komuniti MADANI di Terengganu.
Pada majlis ringkas yang berlangsung di Jeti Pendaratan Ikan Kampung Merang, Setiu itu, turut diadakan konvoi menelusuri Sungai Merang sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama komuniti nelayan setempat.