fb fb fb fb fb

Malaysia tambah 10 lagi kontena bantuan ke Gaza

Nik Nazmi mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan 10 kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin oleh MAPIM di Kaherah

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Malaysia menambah 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin menjadikan keseluruhan kontena yang dihantar sebanyak 110 kontena.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi itu di Kaherah, Mesir semalam, memberitahu kontena berkenaan mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan Sani Araby Abdul Alim Araby.

"Penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza.

"Hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Mesir termasuk peranan langsung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar,"katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan Malaysia akan kekal lantang dan "punching above our weight" dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

"Ketegasan Anwar di depan Presiden AS Joe Biden dan Canselor Jerman Olaf Scholz mendapat perhatian dunia. Isu ini bukan sahaja merentas politik kepartian Malaysia, malah kaum, agama dan sempadan. Malah kebangkitan mahasiswa di Amerika melihat keanehan siswa Yahudi yang anti Zionis dicop anti Semitik!

"Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon, tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza. Sebelum ini serangan Rusia ke Ukraine digelar 'ecocide',"katanya,

Sebelum ini, pada 23 Mac lepas, penghantaran 100 kontena yang merangkumi 1,358 tan barangan ke Gaza telah dilancarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE