
KUALA LUMPUR, 10 September- Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara kecerdasan buatan (AI) yang inklusif dan mampan menjelang 2030 menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang merangkumi 28 inisiatif nasional.
- Perkukuh daya saing ekonomi, kembangkan penyelesaian AI Buatan Malaysia dan kongsi manfaat AI di seluruh masyarakat.
- Bina asas digital kukuh termasuk infrastruktur kesalinghubungan, pengkomputeran awan dan data pintar yang berdaya tahan serta selamat.
- Fokus transformasi berteraskan manusia menerusi peningkatan kemahiran serta penekanan pada privasi, keselamatan siber, ketelusan dan akauntabiliti.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pelan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pengukuhan daya saing ekonomi, pembangunan penyelesaian AI tempatan serta pembinaan persekitaran digital yang dipercayai.
“Negara AI 2030 adalah mengenai mencipta nilai daripada AI dengan memperkukuh daya saing, membangunkan penyelesaian ‘Buatan Malaysia’, membina kepercayaan digital dan memastikan manfaat AI dikongsi di seluruh masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup M360 ASEAN 2026 di sini hari ini.
Teo berkata pelaksanaan agenda AI memerlukan asas digital yang kukuh termasuk infrastruktur kesalinghubungan, pengkomputeran, awan dan data yang pintar, berdaya tahan serta selamat.
Katanya, liputan internet di kawasan berpenduduk di Malaysia kini mencapai 99.75 peratus menerusi projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) setakat 31 Julai lepas, sekali gus menyediakan asas bagi lebih banyak perniagaan dan komuniti memanfaatkan teknologi AI.
Beliau berkata transformasi AI juga perlu berteraskan manusia menerusi peningkatan kemahiran dan latihan semula, selain memastikan aspek privasi, keselamatan siber, ketelusan dan akauntabiliti diberi perhatian.
Dalam pada itu, Teo berkata Malaysia turut memperkukuh persekitaran kepercayaan digital menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), selain Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC) yang berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat lebih satu juta permintaan (1,000,696) penurunan kandungan kepada platform dalam talian dengan kadar pematuhan 93 peratus.
M360 ASEAN 2026 anjuran GSMA yang berlangsung pada 9 dan 10 September menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.
Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan MCMC sebagai rakan penganjur.