BANGKOK, 22 Mei - Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara menjelang akhir 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan inovasi EV, sambil memperkukuh keseluruhan rantaian nilai EV.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur pengecasan di seluruh negara untuk merangsang jualan EV serta menarik pelabur berpotensi ke dalam segmen yang sedang berkembang pesat ini.
“Sasaran kita adalah untuk memiliki kira-kira 10,000 stesen pengecas di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Thailand pada Khamis.
Fadillah turut menekankan mengenai Aspirasi Pelaburan Nasional yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab utama rantaian bekalan global dengan menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperkasa keupayaan industri tempatan.
“Saya percaya Malaysia mempunyai potensi besar dalam segmen EV. Apabila jualan EV meningkat, lebih ramai pelabur akan tertarik untuk melabur dalam sektor ini,” katanya.
Bagaimanapun, Fadillah mengakui terdapat cabaran semasa, khususnya permintaan yang tinggi terhadap pengecas arus terus (DC) berbanding pengecas arus ulang alik (AC).
“Kami bekerjasama rapat dengan Petronas dan pihak industri lain untuk menangani isu ini. Kementerian kami memastikan kesalinghubungan pengecasan mencukupi, termasuk di lebuh raya, kawasan luar bandar dan seluruh Malaysia,” katanya.
Terdahulu pada sebelah malam, lebih 200 rakyat Malaysia termasuk usahawan, pemilik perniagaan dan pelajar menghadiri majlis makan malam anjuran Fadillah di sebuah hotel di daerah Bang Rak, Bangkok.- Bernama