KUALA LUMPUR, 17 JUN- Malaysia perlu menyesuaikan dasar, memiliki institusi yang kukuh institusi dan mengekalkan hala tuju yang jelas bagi mencapai aspirasi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerangka Ekonomi MADANI mencerminkan visi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Ini termasuk menggambarkan komitmen dua hala kerajaan.
"Pertama, dasar perindustrian negara perlu dimodenkan dengan memberi tumpuan kepada daya saing sektor, transformasi digital, pertumbuhan hijau dan peningkatan rantaian nilai.
"Kedua, manfaat daripada pertumbuhan ekonomi harus dirasai secara menyeluruh, khususnya oleh golongan rentan dan kurang berkemampuan," katanya.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikan dalam ucapan perasmian Simposium Sasana 2025 di Bank Negara Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, agenda reformasi MADANI digerakkan menerusi pendekatan menyeluruh seluruh negara, dengan memberi keutamaan kepada lima bidang utama.
Lima bidang tersebut merangkumi kemampanan fiskal dan tadbir urus, penstrukturan semula subsidi, reformasi sistem percukaian, pemerkasaan modal insan, serta pemantapan integriti institusi.