Malaysia kekal stabil, tiada catuan minyak dilaksanakan

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 April – Malaysia kekal berada dalam kedudukan stabil tanpa perlu melaksanakan catuan minyak walaupun krisis tenaga global semakin meruncing, susulan konflik Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan minyak dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan minyak domestik masih kukuh hasil pengurusan bertanggungjawab oleh Petronas dan syarikat minyak lain.
  • Konflik Asia Barat melumpuhkan laluan Selat Hormuz, menyekat kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dunia.
  • Pengeluaran domestik sekitar 350,000 tong sehari manakala penggunaan harian kira-kira 700,000 tong, menyebabkan kebergantungan import.
  • Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion serta mengekalkan penyasaran subsidi RON95 dan diesel bagi lindungi pengguna.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bekalan minyak domestik negara masih kukuh berbanding beberapa negara lain, hasil pengurusan sumber tenaga yang bertanggungjawab oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak lain.

“Rakyat Malaysia masih boleh membeli minyak. Ada negara yang sudah mencatu minyak, malah beratus stesen minyak di negara lain telah ditutup kerana kurang bekalan”, katanya pada Taklimat Harian di Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata konflik Asia Barat yang memasuki minggu keenam telah melumpuhkan laluan strategik tenaga di Selat Hormuz, menyebabkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dunia tersekat dan mencetuskan kenaikan harga minyak global.

Menurutnya, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, pengeluaran domestik hanya kira-kira 350,000 tong sehari berbanding penggunaan harian sebanyak 700,000 tong, menyebabkan negara masih bergantung kepada import minyak.

Katanya, kira-kira 60 peratus minyak Malaysia diimport dari Asia Barat dan kira-kira 40 peratus keperluan kilang penapis tempatan bergantung kepada laluan Selat Hormuz.

Bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan harga minyak dunia, Datuk Seri Amir Hamzah berkata kerajaan kini menanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion, meningkat berbanding RM700 juta sebelum tercetusnya konflik.

Katanya, kerajaan mengekalkan penyasaran subsidi RON95 dan diesel pada harga yang telah ditetapkan sebagai penampan bagi mengurangkan tekanan kos kepada pengguna.

Beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan keterjaminan bekalan minyak, tenaga, barang-barang asas dan ubat-ubatan mencukupi untuk rakyat, sambil memastikan ekonomi negara terus terpelihara.