PUTRAJAYA, 1 Ogos - Kerajaan Malaysia menegaskan pendiriannya terhadap isu Palestin kekal tidak berubah, meskipun wujud gesaan antarabangsa termasuk daripada beberapa negara Arab agar Hamas meletakkan senjata dan menyerahkan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu berasaskan prinsip konsisten Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini, ketika menjawab pertanyaan berhubung pendirian Malaysia terhadap perkembangan terkini di Gaza.
Menurutnya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membentangkan taklimat kepada Jemaah Menteri berhubung hasil mesyuarat khas yang diselaraskan antara Arab Saudi, Perancis dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.
“Wakil Tetap Malaysia ke PBB telah diminta meneliti kandungan satu kenyataan bersama yang mencadangkan beberapa perkara, termasuk hal berkaitan Hamas. Namun, kerajaan memutuskan untuk mengambil sedikit masa bagi meneliti secara menyeluruh dokumen berkenaan,” katanya.
Datuk Fahmi menegaskan bahawa pendirian rasmi Malaysia kekal jelas dan konsisten, iaitu mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka.
“Kerajaan tidak melihat kepada perkara-perkara lain. Kita beri ruang kepada Wisma Putra untuk membuat penelitian penuh. Buat masa ini, pendirian Malaysia tidak berubah,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Luar dijadual mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat awal minggu hadapan, bagi menjelaskan secara terperinci pendirian Malaysia berhubung dokumen dan gesaan antarabangsa tersebut.